Saturday 9 April 2011

Imam Al-Ghazali Perintis Falsafah Islam!!!


DALAM dunia falsafah Islam, Imam Al-Ghazali merupakan perintis awal yang sangat terkenal. Beliau yang mendapat gelaran “Hujjatul Islam” adalah ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap perkembangan dunia keilmuan Islam. Nama lengkap beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali at-Tusi. Lahir di Tus, Khurrasan pada tahun 450H. Ayahnya merupakan seorang ahli sufi yang sangat warak dan kerjanya memintal dan menjual benang yang ditenun daripada bulu biri-biri dan turut mendedahkan anak-anaknya dengan asas ilmu tasawuf. Imam al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad.

Pada mulanya beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dalam bidang Fikah dan kemudian meneruskan kembara ilmu ke Jurjan. Beliau pernah berguru dengan beberapa orang ulama terkenal pada zamannya, misalnya Imam al-Juwaini di Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar.

Melalui Nizam al-Muluk, al-Ghazali diterima mengajar di Madrasah Nizamiyah di Kota Baghdad disokong kemahiran bermuhadharah sehingga menjadikan dirinya seorang Ilmuwan yang amat terkenal dalam bidang Fikah, Ilmu Kalam dan Falsafah pada zaman tersebut.

Sebagai seorang ulama yang cintakan ilmu, beliau juga sering bermusafir dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain bagi menambah ilmu dan menyebarkannya. Tidak hairanlah jika beliau sangat dihormati oleh pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana ilmunya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah. Imam al-Ghazali berpegang pada prinsip bahawa ilmu dan keistimewaan para sufi tidak dapat dipelajari melalui buku-buku sahaja kecuali melalui pengalaman atau me rasainya sendiri. Falsafah beliau telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri para intelek Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd, Syah waliullah dan ramai lagi.

Setelah beberapa lama mengembara dan mempertajamkan ilmu serta sikapnya sebagai seorang ulama sufi, al-Ghazali kembali ke Naisabur atas desakan Fakhrul Muluk, anak kepada Nizam al-Muluk untuk kembali mengajar di Madrasah Nizamiyah. Namun tidak beberapa lama setelah itu, Fakhrul Muluk mati terbunuh dan al-Ghazali kembali semula ke Tus dan membuka sebuah madrasah bagi menyebarkan ilmu dan mendidik orang ramai dengan kaedah sufi yang menekankan pendidikan hati.

Asas-Asas Falsafah Al-Ghazali Menurut Al-Ghazali falsafah secara ringkasnya dikategorikan kepada enam aspek penting iaitu: matematik, fizik, metafizik (ketuhanan), politik, logik dan etika (akhlak). Malah menurutnya Islam tidak melarang mempelajari ilmu-ilmu seperti falsafah Greek asalkan ia tidak ber tentangan dengan Islam sebagaimana dibahaskan di dalam karyanya yang berjudul Tahafut al-Falasifah mengenai fizik dan metafizik yang mengatakan alam ini terurus dengan sendiri tanpa kawalan.

Walaupun beliau bersetuju dengan sumbangan teori falsafah yang dipelopori oleh Aristotles dan Plato terhadap nilai keilmuan, namun tidak semua beliau terima kerana terdapat bahagian dari bidang falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam.

Dalam kitab al-Munqidz Min ad-Dhalal, al-Ghazali menyatakan bahawa para filsuf yang menganut pelbagai mazhab dan yang membawa pemikiran yang berciri kekufuran dapat dibahagikan kepada tiga golongan:

a. Golongan ad-Dahriyyah (Aties) Golongan ini mengingkari adanya Tuhan. Kata mereka, alam ini ada dengan sendirinya. Seperti haiwan yang ada melalui mani dan mani dari haiwan tanpa kesudahan lingkarannya, demikian pula halnya dengan alam ini. Golongan ini adalah zindik.

b. Golongan at-Tobi’iyyah (Naturalis) Golongan ini memusatkan perbahasan pada alam fizikal, terutama haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Keajaiban yang mereka temui menjadikan mereka mengakui adanya Pencipta yang Maha Bijaksana. Golongan ini berpendapat setiap jiwa akan fana dan tidak kembali lagi. Lantaran itu mereka mengingkari adanya hari akhirat, syurga dan neraka. Golongan ini juga termasuk zindiq.

c. Golongan al-Ilahiyyah (Theis) Golongan ini muncul daripada dua golongan yang telah dinyatakan. Seperti Sokrates, Plato dan Aristotles. Kesan daripada itu, Aristotles telah menyanggah pemikiran para filsuf sebelumnya, tetapi dia sendiri tidak mampu membebaskan diri daripada sisa-sisa kekufuran. Namun ilmu-ilmu falsafah selain yang membincangkan sifat ketuhanan boleh diterima selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh al-Ghazali menunjukkan satu contoh dalam ilmu matematik yang tidak dapat diingkari kebenarannya.

Adapun dalam bidang ketuhanan al-Ghazali berpendapat pandangan para filsuf banyak bertentangan dengan agama Islam, sehingga ilmu dan pemikiran mereka wajib ditolak. Untuk maksud tersebut karyanya yang berjudul Tahafut al-Falasifah yang mengemukakan 20 masalah yang tidak sesuai dengan Islam (meliputi hal kufur dan bidaah) perlu diteliti oleh umat Islam hari ini. Konklusi yang dibuat oleh al-Ghazali di dalam perbahasan kitab tersebut meletakkan tiga aspek pertentangan antara filsuf dan Islam iaitu:

1. Filsuf menganggap qadimnya alam
2. Tuhan tidak mengetahui peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku di bumi
3. Mengingkari kebangkitan semula jasad pada hari akhirat

Sebagai usaha untuk menyingkap pemikiran falsafah al-Ghazali, orang ramai bolehlah membaca karyanya Tahafut al-Falasifah dan Maqasid al-Falasifah.

Perspektif Sarjana Islam Terhadap Al-Ghazali Para Ilmuwan Islam sama ada yang sezaman dengan beliau atau selepasnya amat tertarik dengan daya pemikiran dan falsafah yang diketengahkan beliau untuk tatapan umat Islam. Sebagai seorang pengkritik kepada filsuf beliau juga tidak terlepas daripada dipertikaikan sebagai seorang ahli falsafah. Contohnya Ibn Rusyd yang menulis sebuah buku berjudul Tahafut at-Tahafut sebagai jawapan balas terhadap dakwaan al-Ghazali yang menentang pemikiran falsafahnya. Walau bagai manapun perkara ini dianggap sebagai suatu kebiasaan para ilmuwan mendatangkan hujah dan dalil terhadap perselisihan pendapat di kalangan mereka.

Perkara sebegini juga berlaku terhadap Plato apabila teori falsafahnya diperbetulkan oleh muridnya, Aristotles. Menurut Ibn Tufail dalam menghuraikan penentangan al-Ghazali terhadap aspek metafizik di atas tadi bahawa ia memang suatu kontradiksi daripada fikirannya dan ada lain pendapat yang mengatakan ia kesan perkembangan pemikiran al-Ghazali bermula daripada peringkat awal pendidikannya sehinggalah beliau mengalami pelbagai pengalaman dan peningkatan terhadap ilmu pengetahuannya.

Selain sarjana Islam, orientalis barat dan penulis-penulis barat juga sering menulis tentang al-Ghazali. Antaranya ialah J.Wensik, Obbermana dan Cara De Vaux lantaran kekaguman terhadap teori falsafah Al-Ghazali. Walaupun begitu mereka yang sering mengikuti perkembangan al-Ghazali sering memberikan pandangan dan penafsiran yang berbeza-beza antaranya B.B Mc Donald yang menyifatkan al-Ghazali sebagai seorang tokoh yang terkenal di dunia Islam sebagaimana Augustinus dalam dunia Kristian. Malah Pascal, filsuf terkenal Perancis sering merujuk kepada pendapat al-Ghazali dalam falsafahnya.

Karya Al-Ghazali Hujjatul Islam Imam al-Ghazali adalah ulama dan pemikir Islam yang sangat produktif dalam penulisan. Jumlah hasil tulisannya sehingga kini masih tidak dapat ditentukan dengan tepat secara definitif oleh para penulis sejarahnya. Ini kerana ada di antara kitab-kitabnya yang telah diterbitkan dan masih ada yang tersimpan dalam perpustakaan makhtutah negara-negara Arab. Walau bagaimanapun Abdurahman Badawi mengklasifikasikan karya Al-Ghazali kepada tiga kategori.

Pertama kitab yang dikenal pasti dengan tepat sebagai karya al-Ghazali berjumlah 72 kitab. Kedua, kumpulan yang diragui terdiri daripada 22 kitab dan ketiga, kitab yang bukan karya beliau dapat dipastikan berjumlah 31 kitab.

Kitab-kitab yang beliau tulis meliputi pelbagai bidang ilmu seperti ilmu al-Quran, akidah, ilmu kalam, usul fikah, fikah, tasawuf, mantiq, falsafah, kebatinan dan lain-lain. Antara karya beliau yang sangat berpengaruh ialah:

1. Tahafut al-Falasifah
2. Ihya’ Ulumiddin
3. Al-Munqidz Min ad-Dhalal
4. Miskat al-Anwar
5. Maqasid al-Falasifah
6. Majalis Al-Ghazali
7. Al-Mustazhari

Hasil karya beliau sering menjadi rujukan terutama dalam bidang falsafah ialah Tahafut al-Falasifah yang banyak membongkar pemikiran dan pendirian beliau. Karyanya ini merupakan jawapan dan pendirian terhadap falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam. Inilah bukti yang menjadikan beliau ahli falsafah yang mempunyai keistimewaan.

Dalam pencarian hakikat dan kebenaran yang sering mendorong dirinya menjadi seorang pengkaji yang bukan hanya mendalami ilmu malah mengamalkan keilmuan dan merasai dzuq seorang Muslim sejati. Imam al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada tahun 505H dalam usia 55 tahun.

seribu kemanisan



 Jangan dikenang peristiwa sedih
 tetapi kenangilah pengalaman manis
kerana ia boleh membuatkan kita semakin ceria
dan sentiasa gembira

andai itu takdirnya...redha dgn ketentuan ALLAH..^-^

Pada suatu hari, Saya bertanya kepada emak, "Mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? "Mak jawab, "dua-dua bukan.." Saya tercengang..Mak mengukir senyuman.


"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam."Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya."Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.

"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. " mak menyusun ayat-ayatnya."Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "Tak faham.."Mak menyambung "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.." Mak menyambung lagi,"begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..

Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi.Emak buat-buat tidak nampak.

Secret Admire

"Kakak, mak dulu masa remaja ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat ..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh...lama budak tu tunggu mak..Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak..

Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu." Mak merenung jauh.Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

"Mak memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil."Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu..Mak takut pada Allah.

Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.."Mak, seperti kakak.." mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya.kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

"Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.

Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.."emak melemparkan pandangan ke lantai. "Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.

Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya. Saya diam.

Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?

"Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya..Sesungguh nya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya. Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya.

Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain..

Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya." emak berhenti seketika.. Bukan luar biasa...

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini.

"Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa..Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang..Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata."

"Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. "


Membaca menambah ilmu Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI



ALLAH SWT menghilangkan kesukaran yang dihadapi Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan Jibril AS dan memerintah dengan berkata: "Bacalah!" Lalu Baginda menjawab: "Aku tidak boleh membaca!"

Lantas Allah SWT berfirman yang bermaksud: Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah.

Al-Maraghi berkata: "Laksanakan membaca yang Aku perintahkan itu! Perintah membaca ini diulang-ulang, kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulangkaji. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali."

Oleh itu, membaca menunjukkan bakat Nabi Muhammad SAW, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Kami sentiasa menjadikan Engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (al-Quran yang diturunkan kepadamu dengan perantaraan Jibril), sehingga Engkau (menghafaznya dan) tidak lupa.

Tuhanmu Maha Pemurah terhadap setiap orang yang mengharapkan pemberian-Nya. Oleh sebab itu, mudah bagi Allah SWT mengurniakan kebolehan membaca al-Quran kepadamu.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan lagi keterangan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.

Tuhan Yang Maha Pemurah itu juga menjadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan.

Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.

Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian, penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?

Tuhan menyifatkan sendiri penciptaan manusia yang terbentuk daripada segumpal darah serta mengajarnya dengan perantaraan qalam. Semua ini bertujuan menerangkan keadaan yang sebenar.

Allah SWT mencipta manusia daripada bahan yang hina dan seterusnya membentuk manusia yang sempurna.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Renunglah wahai manusia bagaimana peringkat perpindahan kamu dari sehina-hina kejadian kepada martabat yang paling tinggi.

Ini membuktikan kewujudan pentadbir yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Sayid Qutub berkata: "Di samping menjelaskan hakikat penciptaan manusia, ayat itu juga menjelaskan hakikat mengajar, iaitu bagaimana Allah SWT mengajar manusia dengan pena, kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang paling luas dan paling mendalam kesannya dalam kehidupan seharian manusia."

Pada ketika itu, hakikat peranan pena belum lagi jelas seperti yang kita ketahui dalam kehidupan manusia sekarang. Tetapi Allah SWT amat mengetahui nilai pena.

Sebab itulah Dia menyebutkannya pada detik pertama kemunculan agama yang terakhir bagi umat manusia dan pada surah yang pertama dari surah-surah yang terkandung di dalam al-Quran.

Namun begitu, Rasulullah SAW sendiri bukanlah seorang yang pandai menulis dengan pena.

Oleh yang demikian, andainya al-Quran itu bukanlah wahyu daripada Allah, malah perkataan yang dikarang oleh baginda, sudah tentu baginda tidak akan menonjolkan hakikat peranan pena itu pada detik pertama dakwahnya.

Hakikat ini sudah tentu tidak tertonjol seandainya al-Quran itu bukannya wahyu dan utusan daripada Allah SWT.

Seterusnya, Allah SWT menjelaskan perkara ini dengan huraian yang lebih lanjut tentang pelbagai nikmat yang dikurniakan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Tok Kenali - Tokoh Intelektual Islam Kelantan


Tok Kenali (Muhammad Yusof bin Ahmad) 1870-1933 merupakan seorang ulama sekaligus seorang intelektual Islam dari negeri Kelantan yang memandang penting tentang pendidikan Islam di negeri itu. Malah ilmu yang dimilikinya tersebar luas ke Nusantara. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Kenali, Kota Bharu, Kelantan. Beliau menuntut di Mekah selama 22 tahun dan kembali ke tanahair pada tahun 1909.

Mempunyai semangat yang kental bagi menyebarkan Islam serta pendidikannya, Tok Kenali mendirikan pusat pengajian pondok Kendali pada tahun 1911. Institusi pondok ini kemudiannya menjadi pusat pengajian Islam yang dikenali hingga kini. Semasa hayatnya beliau menjadi guru agama di Masjid Besar Al-Muhammadi. Dilantik menjadi anggota Majlis Ulama Kelantan. Menjadi anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Kelantan. Pernah menjawat jawatan Penolong Mufti dan menjadi Ketua Pelajaran Agama Islam.


Pada 11 Julai 1918 bersamaan 1 Syawal 1336, tokoh ini mengasaskan majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam, Kelantan. Paling terhormat ialah majalah ini diterbitkan terus hingga kini, yang telah menjangkau usia 84 tahun. Tok Kenali menjadi Ketua Pengarang, majalah Pengasuh di samping terus menjadi “Tuan Guru” serta pemimpin Islam yang berwibawa dengan ilmu yang dimilikinya. Beliau terus menulis dalam majalah Pengasuh sehingga di saat akhir hayatnya.


Daya usaha yang dilaksanakan oleh Tok Kenali itu telah meninggalkan kepada kita khazanah ilmu yang tidak ternilai malah menjadi amalan kita semua pada hari ini. Pelajarnya ramai di merata tempat yang masing-masing menyumbang usaha murni gurunya. Malah dapat dirasakan nama tokoh ini harum semerbak di Nusantara walaupun beliau telah lama meninggalkan kita semua. Terdapat dua buah buku yang merakamkan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali, dan buku-buku tersebut ialah Pusaka Tok Kenali dan sebuah lagi Cerpen Warisan Tok Kenali hasil usaha Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat juga berpuluh rencana serta kajian yang ditulis oleh penulis-penulis untuk menjadi bahan yang amat berguna untuk kita meneliti jasa bakti yang ditinggalkan oleh Tok Kenali.


Pada tahun-tahun 60-an misalnya, cerita-cerita tentang Tok Kenali begitu diminati bukan sahaja oleh kanak-kanak tetapi juga oleh segenap lapisan masyarakat. Di negeri Pahang misalnya, Tok Kenali memang dikenali serta diingati sebagai seorang yang “keramat” iaitu sangat mulia di sisi Allah S.W.T. Cerita-cerita tentang tokoh ini sering sahaja diceritakan oleh guru-guru yang mengajar al-Quran selepas murid-muridnya belajar mengaji.


Dalam mengkaji tokoh ini terdapat beberapa perkara yang sangat menarik untuk diketahui mengenainya. Perkara yang dimaksudkan ialah amalan-amalan Tok Kenali, tulisan-tulisannya tentang Islam, syair yang pernah dibacakannya, cerita-cerita daripada Tok Kenali, dan kata-kata pujangganya di samping kitab-kitab yang ditulisnya. Sebagai seorang Tuan Guru yang bijaksana, Tok Kenali menyelitkan cerita dalam pengajarannya. Cara pengajaran sedemikian, menjadikan pengajarannya menarik dan tidak menjemukan murid-muridnya. Dalam hal ini Abdullah Al-Qari menyenaraikan sebanyak 21 buah cerita yang pernah disampaikan oleh Tok Kenali semasa mengajar. Antara cerita-cerita itu diberikan tajuk “Ikut Bapamu Tetapi Takutkan Allah”, “Sebab Setitis Susu”, “Penebus Belanja Ayah”, “Orang Cerdik dan Orang Bodoh”, “Berfikir Sebelum Bernazar”, dan beberapa yang lain.


Walau bagaimanapun, Tok Kenali tidak menuliskan cerita-cerita ini. Namun, cerita-cerita tersebut masih diingati oleh murid-muridnya yang kebanyakannya telah menjadi guru agama sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke Rahmatullah. Melihat sekali imbas ternyata cerita-cerita yang disampaikan oleh Tok Kenali ini merupakan cerita-cerita rakyat yang sangat tinggi nilai moralnya. Apatah lagi cerita-cerita yang sedemikian ini telah diselitkan semasa menyampaikan pengajaran agama, pastinya memberikan lebih makna dan kesan kepada pendengarnya.


Selain itu, tokoh ini telah menulis kitab di samping menulis dalam majalah Pengasuh di bawah pimpinannya selaku Ketua Pengarang dan majalah Al-Hidayah. Terdapat sembilan buah kitab yang dihasilkan oleh Tok Kenali dan ada antara kitab-kitab tersebut yang dikembangkan oleh murid-muridnya. Kitab-kitab yang dimaksudkan termasuk:


1. Khasiat Binatang

2. Kitab Mujarobat
3. Kitab Tasyif
4. Sangkalan Terhadap Kaifiah; Hadiah dan Doa Yassin.
5. Ilmu Risik Tok Kenali
6. Ilmu Penyecah Tok Kenali
7. Ilmu Makjun Tok Kenali
8. Ilmu Julab Tok Kenali
9. Tulisan-tulisan tangan Tok Kenali dalam pelbagai hal yang ada hubungan dengan pengajaran Islam.

Menurut sejarah, setelah Tok Kenali tamat pengajian di Makkah, beliau kembali ke tanah air untuk membina bangsanya dengan berlandaskan Islam. Beliau menjadi guru agama yang berwibawa di samping menjadi pemimpin kepada majalah Pengasuh yang merupakan media bagi menyampaikan pengajaran dan pemikiran kepada masyarakat. Untuk itu beliau mendirikan institusi pondok yang sehingga kini masih diwarisi.


Sahsiah peribadi yang tinggi dan terpuji yang dimiliki oleh Tok Kenali telah menjadikan beliau seorang ulama rujukan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai seorang intelektual Islam yang membina bangsanya tanpa ragu. Kewibawaan Tok Kenali bergelombang bukan sekadar di Kelantan tetapi juga dirasakan oleh seluruh masyarakat tanah air serta Nusantara amnya.


Tegasnya, Tok Kenali telah mengasaskan landas pendidikan yang cukup teguh di Kelantan di samping ulama-ulama lain di negeri itu. Gelombang ini juga dapat dirasakan dengan lahirnya ramai cerdik pandai Islam dari negeri itu. Malah terdapat institusi-institusi pondok yang masih kekal sehingga hari ini walaupun pendekatan dan perkembangannya sudah disesuaikan dengan aliran zaman. Inilah kesan kewibaan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T.

seribu kemanisan

Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan
tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan...^_^

Friday 8 April 2011

Roh jihad sudah pudar dalam hati umat Islam

MARUAH Islam sekali lagi dicabar dan tercabar. Jati diri ummah kian bergoncang dan hak asasi manusia terus diperkosa.

Di pihak lain, keangkuhan Israel melampaui batasan. Pembunuhan ulama dan pemimpin pergerakan Hamas, Syeikh Ahmed Yassin di Gaza menunjukkan betapa kejamnya Zionis terhadap Islam.

Syeikh Ahmed Yassin, 66, yang lumpuh dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda terbunuh dalam serangan udara pada 22 Mac lalu sebaik saja keluar dari masjid selepas menunaikan solat Subuh.

Lebih malang lagi, serangan udara itu turut mengorbankan tujuh lagi rakyat Palestin tidak berdosa termasuk pengawal peribadi beliau.

Realitinya inilah yang berlaku kini. Selepas keagungan dan institusi khalifah runtuh, maruah Islam terus tidak diendahkan.

Tokoh pejuang umat Islam dihimpit dan mereka dilabelkan sebagai pengganas, pemberontak, penjenayah dan pelbagai lagi gelaran bagi menghalalkan segala penentangan terhadap mereka.

Selain Syeikh Ahmed Yassin, ramai pejuang tulen yang diuji dan sudah diuji dengan pelbagai cabaran termasuk dipenjara, dikenakan hukuman bunuh, dibuang daerah dan dipulaukan masyarakat.

Antaranya Syamil Basayev dan Jeneral al-Khattab di Chechnya; Dr Ayub Thakur (Kashmir); Dr Abas Madani dan (Algeria); Omar Basyir (Sudan); Dr Najmuddin Erbarcan (Turki); dan Mustafa Masyhur (Mesir).

Sebenarnya umat Islam seluruh dunia seharusnya sedar akan perlunya mereka menilai kembali diri dan membuat perancangan berkesan yang boleh digunakan untuk mengembalikan kecemerlangan ummah pada masa depan.

Tindakan membabi-buta tidak akan menyelesaikan masalah umat Islam. Sebagai renungan bersama, ucapan al-Imam Hasan Al-Banna wajar diteliti secara bersama. Beliau pernah berkata: “Kemenangan itu sedang menanti di hadapan kita. Walaupun tekanan semakin dahsyat dan keras menghimpit kita, tetapi ingatlah bahawa sesungguhnya fajar mentari pastikan terbit walaupun kegelapan masih berpanjangan.”

Selain itu, kata-kata seorang pujangga wajar dijadikan motivasi untuk mengorak langkah membina kegemilangan.

Beliau berkata: “Kebangkitan Islam bukan menanti keredaan orang kafir dan munafik, tetapi Islam bangkit di celah kekafiran dan kemunafikan.”

Islam adalah agama berkasih sayang dan sentiasa memperjuangkan keamanan, keadilan dan kesaksamaan sejagat.

Malah perkataan ‘Islam’ itu sendiri membawa makna salam atau ‘selamat’. Umat Islam dididik bersikap dan bertindak secara sederhana, bertolak ansur dan mengamalkan toleransi.

Apabila hak seseorang dicabuli, Islam pasti menentangnya tidak kira sama ada yang tertindas itu seorang muslim atau tidak.

Inilah sebenarnya keindahan Islam dan ajarannya yang melangkaui batasan geografi dan merentasi sempadan politik sempit kerana ajaran dan mesejnya adalah bersifat ‘alamiyyah (global), syumul dan rahmat kepada seluruh manusia.

Bagaimanapun, keadaan dan situasi umat Islam kini berada pada tahap yang menyedihkan. Di seluruh dunia, negara dan umat Islam dijajah, ditindas dan dilabel secara negatif.

Lebih daripada itu, dunia dan sejarah membuktikan bahawa tamadun Islam lama menyaksikan gangsterisme Barat. Malah, Barat sentiasa berusaha merancang, merencana dan melaksanakan agenda jahat bagi memastikan Islam dan umat Islam terus dihina serta dipandang rendah pada setiap ketika.

Sebab itulah, tindakan unilateral, perang berat-sebelah, kekejaman, pembunuhan beramai-ramai atau ‘genocide’, kebuluran, keruntuhan moral dan pendek kata segala masalah yang berlaku hari ini terus bermaharajalela.

Oleh itu, tidak ada kesangsian lagi untuk orang beriman memejamkan mata dan berpeluk tubuh atas apa yang berlaku.

Selain itu, mustahil bagi muslim terus lena dan dibuai mimpi indah di atas tilam yang empuk, bergoyang kaki membuang masa serta hanya memikirkan terhadap kepentingan dan keuntungan peribadi apabila melihat jenayah ganas ini terus memalit luka dan duka kepada kemanusiaan di seluruh dunia.

Sejarah dan pengetahuan masa silam adalah perkara berharga untuk diteliti bagi memperbaiki keadaan sedia ada.

Oleh itu, langkah pertama perlu dilaksanakan dalam menghadapi semua dilema dan permasalahan ini ialah umat Islam perlu bersatu.

Integrasi adalah jawapan paling baik. Segala perbezaan pandangan, fahaman politik dan sebarang prejudis antara wajar diketepikan.

Setiap Muslim perlu menerima kenyataan bahawa solidariti memainkan fungsi sangat besar dalam menganjak situasi semasa ummah.

Asas kukuh persaudaraan mesti berlandaskan akidah bagi memastikan persaudaraan yang terbina adalah Ukhuwwah Islamiyyah.

Justeru, umat Islam perlu bersatu kerana Islam adalah agama perpaduan. Ajaran Islam yang syumul hendaklah dijadikan sebagai model dan kerangka berseri kepada kesatuan ummah.

Selagi masyarakat Islam terus memaut erat fahaman kuno seperti semangat perkauman, taksub dan fanatik, maka percayalah bahawa muslim akan terus hidup dalam pertelingkahan dan perpecahan.

Justeru, tiba masanya semua berbicara mengenai kesatuan yang sebenar. Ia penting ke arah mencapai impian membentuk masyarakat madani yang berteraskan konsep ummatan wahidah – umat yang satu.

Selain itu, semangat dan roh jihad sudah pudar dalam hati umat Islam. Malah umara’ (pemerintah), ulama dan pahlawan agama gagah hanya tinggal kenangan.

Segala-galanya hanya tinggal nama dan kini Islam hilang kekuatannya angkara ketamakan duniawi, kealpaan dan kejahilan umatnya.

Sudah hilang daripada umat ini Salahuddin al-Ayyubi – lelaki waja yang terkenal dengan kegagahan serta warak. Beliau juga panglima perang ketika Peperangan Hittin menentang tentera Salib dan Yahudi.

Begitu juga, sudah hilang daripada umat ini Imaduddin al-Zangki dan anaknya Nuruddin al-Syahid – dua perwira perkasa yang memperjuangkan Islam hingga ke titisan terakhir.

Selain itu, sudah tidak ada daripada umat ini yang mengenali Panglima Saifuddin al-Qutuz – pemuda yang berjasa merebut kembali Baghdad daripada Tentera Tatar Monggol.

Malah, sudah hilang individu yang mahu mencontohi Muhammad Murad – pemuda berhati waja dan bersemangat besi baja.

Pada usia 23 tahun, beliau mampu mengepalai usaha menakluki kota Konstantinopal pada Selasa 20 Jamadil Awal 857 Hijrah bersamaan 29 Mei 1453 dan akhirnya dikenali sebagai Muhammad al-Fatih.

Justeru, marilah bersatu dan menyeru kepada perpaduan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Marilah kita bersatu kerana Allah dan Islam serta ingatlah ukhuwwah berfungsi dalam menghadapi pelbagai cabaran serta dakyah musuh.

Marilah tanamkan keazaman untuk menjadikan diri hidup berjuang dan mempertahankan Islam agar mampu menjadi umat yang mempunyai terbaik.

Masyarakat pula diterangi cahaya dan kalimah Ilahi. Akhirnya, marilah menjadi lelaki dan wanita zaman ini yang bakal mencorak dunia dengan Islam hakiki.

Erti Pengorbanan

Kala senja itu tiba
Kutermenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan

Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan

Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran

Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan

Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali

CABARAN GURU PENDIDIKAN ISLAM~~~

PENGENALAN

Syed Muhammad Naquib al-Attas, (1999) mendefinisikan pendidikan sebagai suatu proses menanam sesuatu ke dalam diri manusia. Pendidikan Islam pula ditakrifkan oleh Ahmad Mohd Salleh (2004) sebagai suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Manakala menurut Mohd Yusof Ahmad (2004) pula, Pendidikan Islam adalah satu usaha atau proses mengajar, mengasuh, mendidik dan mengembangkan potensi individu dari segi aqli, rohani, jasmani dan emosi supaya menjadi insan seimbang yang mampu untuk membangun diri, keluarga dan masyarakat berdasarkan ajaran Islam, di samping itu ia juga berusaha untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat. Pendidikan Islam ini bukan sahaja mata pelajaran di sekolah, tetapi satu proses pembentukan manusia berdasarkan ajaran Islam. Ia juga bermaksud sistem yang bersumberkan wahyu, iaitu satu sumber yang sempurna untuk mendidik manusia bagi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Tujuannya ialah melahirkan muslim yang soleh, yang dapat membangun diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang diredhai Allah.

Melalui definisi dan maksud di sebalik Pendidikan Islam seperti yang dihuraikan di atas, dapatlah kita fahami betapa besarnya peranan guru Pendidikan Islam dalam mendidik pelajar-pelajar agar tujuan yang Pendidikan Islam itu benar-benar dicapai. Namun begitu, untuk mencapai tujuan tersebut guru Pendidikan Islam masa kini menghadapi banyak cabaran khususnya dalam melaksanakan persekitaran bilik darjah dan sekolah yang kondusif selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam. Sebelum melihat cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru Pendidikan Islam, lebih elok diteliti apakah maksud cabaran, kondusif dan apakah pula prinsip-prinsip Islam.


Merujuk Kamus Dewan edisi keempat, cabaran diertikan sebagai sesuatu yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. Kondusif membawa erti sesuai, baik dan sebagainya untuk membantu, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu.

Prinsip-prinsip asas ajaran Islam pula ialah sesuatu yang dilakukan itu mestilah berteraskan al-Quran, as-Sunnah, ijma’ ulama’, qias serta selari dengan nilai-nilai Islam. Jadi di sini, dapat kita fahami bahawa yang dimahukan di sini ialah apakah cabaran atau indikator-indikator yang menguji kemampuan guru Pendidikan Islam dalam mewujudkan persekitaran bilik darjah dan sekolah yang sesuai dengan ajaran Islam iaitu berteraskan sumber Islam yang dibenarkan.

Cabaran ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:-

1. Cabaran dalam melaksanakan persekitaran bilik darjah selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.

2. Cabaran dalam mewujudkan suasana sekolah yang kondusif selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.

Thursday 7 April 2011


Jasa Bonda

Di saat kau lena dia berjaga
Kau bersenang dia bekerja
Untuk mu tiada terbatas
Memberi tidak minta dibalas
Ingin dibinanya untuk mu
Kehidupan yang sempurna
Punya kekuatan jiwa
Punyai maruah

Leterannya dari rasa luhur
Menegur sebelum terlanjur
Itulah yang diwarisi
Pesan ibu terpahat di hati
Beringat-ingatlah berpesan pesan
Untuk kebaikan
Marah bukan kebencian
Tapi tanda sayang

Engkau semakin dewasa
Berjiwa merdeka
Sedang dia semakin tua
Membilang usia
Di saat kau berjaya
Dia tiada berdaya
Semoga kau tak lupa
Jasa bonda

Mutiara Kata

  Jangan melepaskan apa yang berada berhampiran kita 
dengan bermimpi tentang apa yang jauh daripada kita

Ilmu senjata paling penting untuk bina kekuatan supaya negara, agama terus gemilang


Ilmu senjata paling penting untuk bina kekuatan supaya negara, agama terus gemilang

ILMU dan amal selalunya ingin bersama umpama laut dan pantai, aur dan tebing yang seiring kekal bergandingan. Umpama pemimpin dan rakyat yang saling memerlukan. Namun ilmu kadang kala meninggalkan amal, ada kalanya ilmu juga disingkirkan.

Betapa keajaiban jika laut tidak bersama pantai begitu juga jika aur tidak lagi bersama tebingnya, ilmu tidak bersama amalnya, pemimpin tidak lagi bersama rakyatnya. Lagu tidak lagi berirama dan nasi tidak berlauk tentu pincanglah lagu, selera pun hilang.

Terungkap kecintaan Allah terhadap ilmu dan orang yang berpengetahuan berdasarkan firman yang bermaksud: "Katakanlah. Bukankah tidak sama orang yang mengetahui dengan orang tidak mengetahui? Tidak mengingat melainkan orang mempunyai fikiran." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Allah meletakkan mereka yang berilmu sebaris dengan orang mempunyai fikiran serta dapat membezakan antara buruk dan baik, kebenaran dan kepalsuan. Imam al-Ghazali berkata: "Siapa yang tidak berfikir ilmunya tidak dapat dipercayai."

Dr Sidi Gazalba juga pernah berkata: "Kebenaran ilmu sepanjang pengalaman. Pengalaman filsafat sepanjang pemikiran."
Mulia insan kerana ilmunya, halus pemahaman mengenai hidup serta luas matahari dan tajam akalnya. Orang berilmu akan diterangi jalan ke syurga, memimpin mereka kepada kebahagiaan. Justeru carilah ilmu semoga tersingkap pintu rahmat tertutup lorong kehancuran.

Buta hati kerana jahil lebih bahaya daripada buta mata. Lantaran itu dibimbangi di kalangan kita akan luput ilmu, berleluasa kejahilan lalu hancur peradaban dan lenyap ketamadunan. Empayar dibina berasas ketinggian ilmu menjadi pengukur bagi bangsa lain di dunia.

Renungi sejarah silam keagungan Islam, kekuatan yang diasaskan kepada ajaran suci terhadap ilmu membuka jiwa dan mata hati masyarakat jahiliah menjadi satu bangsa bermaruah dan disegani. Kewajipan menuntut ilmu banyak ditegaskan dalam al-Quran.